Plot Der Fuehrer's Face

Donald menabik "Führer".

Kartun bermula dengan muzik opera komedi Wagner yang bertajuk Die Meistersinger von Nürnberg sebelum bersambung ke lagu judulnya.

Sebuah pancaragam oom-pah yang terdiri daripada para pemimpin Paksi, iaitu Hirohito bermain sousafon, Göring bermain pikolo, Goebbels bermain trombon, Mussolini bermain dram bes, dan seorang lelaki yang tidak dikenali namanya bermain dram getar, mendendangkan dakyah Nazi sambil berarak sepanjang sebuah pekan di Jerman, di mana segalanya, termasuk awan dan pohon pun, berhiaskan swastika. Ketika melalui rumah Donald (yang dihiasi oleh wajah Hitler di merata-rata), pancaragam itu menggunakan bayonet untuk menojahnya agar bangun dan bersiap sedia untuk bekerja. Disebabkan pencatuan waktu perang, sarapannya hanya terdiri daripada roti kayu yang menyebabkan pemakannya tersedu, kopi yang dibancuh dari sebiji kopi tunggal yang disorok, dan semburan yang berbau bacon and eggs. Pancaragam itu memantakkan senaskhah buku Mein Kampf di depan Donald untuk dibaca sekejap, kemudian berarak ke dalam rumahnya untuk membawanya ke kilang.

Setibanya di kilang (sambil diacukan bayonet), Donald memulakan syif 48 jam sehari memasang tutup peluru meriam dalam barisan pemasangan. Sejajar dengan peluru itu adalah sebarisan gambar potret Führer, jaid suka atau tidak, Donald mesti menabik Hitler setiap kali potretnya muncul sambil memasang semua tutup peluruh. Setiap kelompok peluru baru berbeza-beza saiznya, dari yang kecil hingga yang raksasa, lebih kurang sebesar badan Donald. Barisan pemasangan bergerak semakin cepat sehingga menyebabkan Donald semakin susah untuk menyiapkan semua tugasnya. Pada masa yang sama, Donald dihujani oleh mesej dakyah tentang ketuanan kaum Arya dan kemegahan kerana berkhidmat untuk Führer.

Selepas "cuti berbayar" yang terdiri daripada kerja membentuk swastika dengan badan sendiri untuk seketika sahaja di hadapan lukisan Alps, Donald diarah untuk bekerja lebih masa. Donald mengalami gangguan jiwa dengan halusinasi peluru meriam yang berupa dan berlagu sama seperti pancaragam di awal kartun, sambil berkeliaran di merata tempat. Selepas habis berhalusinasi, Donald bangkit atas katilnya — di Amerika Syarikat — dan menyedari bahawa pengalaman tadi hanya igauan. Donald memeluk Patung Liberty kecil dalam biliknya sebagai tanda syukur atas kerakyatan Amerikanya.

Filem pendek ini berakhir dengan karikatur wajah Hitler yang bengis. Selepas kedengaran dua kali "Heils", sebiji tomato dilontarkan ke arah muka Hitler.